Bermula 23/7/2018 peperiksaan percubaan UPSR.Semoga semua murid tahun 6/ 2018 dapat menjalani Peperiksaan Percubaan UPSR 2018 dengan tenang dan berjaya menjawab setiap jawapan dengan betul dan tepat.
Monday, July 23, 2018
Sunday, July 22, 2018
Peraturan Permainan Bola Baling
PENGENALAN
Bola
Baling boleh dimainkan sama ada di dalam atau luar dewan. Peralatan yang
diperlukan adalah tidak banyak. Apa yang diperlukan ialah padang atau
gelanggang (tertutup atau terbuka), sebiji bola baling dan 14 orang pemain
(tujuh orang sepasukan). Dua orang pengadil diperlukan untuk mengawal
permainan.
GELANGGANG
BOLA BALING DAN UKURAN PADANG/GELANGGANG (KAWASAN PERMAINAN)
Permukaan gelanggang mestilah keras dan rata. Gelanggang yang digunakan boleh
merupakan gelanggang berumput di padang terbuka atau gelanggang bersimen atau
berparket di dalam dewan yang tertutup. Gelanggang permainan berbentuk
segiempat bujur, 40 meter panjang di garisan tepi dan 20 meter lebar di garisan
gol. Gelanggang permainan dibahagikan kepada dua bahagian yang sama luas oleh
satu garisan tengah. Setiap kawasan gol mengandungi satu garisan kawasan go
yang berjejari 6 meter dari tepi dalam tiang gol. Garisan balingan percuma
adalah putus-putus dan berjejari 9 meter dari tepi dalam tiang gol. Panjang
garisan penalti ialah 1 meter dan berjarak 7 meter dari tengah garisan gol.
Panjang garisan penjaga gol pula ialah 15 cm dan jaraknya dari tengah garisan
gol ialah 4 meter. Di dua garisan tepi, terdapat dua garisan pertukaran pemain
dengan panjang 15 cm dan jaraknya dari garisan tengah ialah 4.5 meter. Semua
garisan dalam gelanggang perlu ditandakan secara jelas dengan ukuran selebar 5
cm.
BOLA
Bola harus berbentuk bulat dan diperbuat daripada kulit atau getah berwarna
yang tidak terlalu keras. Berat dan lilitan bola untuk setiap kategori pemain
adalah seperti berikut :
1. Lelaki dan remaja lelaki (16 tahun ke atas) Bola saiz 3. Berat antara 425 g
sehingga 475 g. Lilitan antara 58 cm hingga 60 cm.
2. Wanita dan remaja perempuan (14 tahun ke atas) dan remaja lelaki (12 tahun
sehingga 16 tahun) Bola saiz 2. Berat antara 325 g hingga 375 g. Lilitan antara
54 cm hingga 56 cm
3. Remaja perempuan (8 tahun hingga 14 tahun) dan remaja lelaki (8 tahun hingga
12 tahun) Bola saiz 1. Berat antara 290 g hingga 330 g. Lilitan antara 50 cm
hingga 52 cm.
Biasanya, dua biji bola yang telah diperiksa dan disahkan oleh pengadil akan
disediakan bagi setiap perlawanan. Bola yang digunakan dalam sesuatu perlawanan
tidak boleh ditukar ganti kecuali dengan sebab-sebab tertentu. Di peringkat
antarabangsa, hanya bola yang ditandakan dengan logo IHF (Kesatuan Bola Baling
Antarabangsa) dibenarkan dalam sesuatu pertandingan.
TIANG GOL
Tiang gol perlu diletakkan di tengah-tengah garisan gol. Tiang gol terdiri
daripada dua batang tiang tegak yang panjangnya 3 meter dan tingginya 2 meter.
Kedua-dua tiang ini disambungkan oleh sebatang palang empat segi yang
panjangnya 3.16 meter. Tiang gol diperbuat daripada kayu atau bahan sintetik
yang serupa dan dicat dengan warna yang sama dengan ukuran 28 cm. Di bahagian
lain tiang gol dan palang ialah 8 cm.
PEMAIN DAN
PAKAIAN
Pakaian untuk pemain lelaki dan pemain perempuan terdiri daripada baju lengan
pendek atau panjang, seluar pendek, stoking dan kasut biasa atau but. Semua
pemain gelanggang hendaklah berpakaian serupa (seragam) kecuali penjaga gol
yang perlu memakai warna pakaian yang berlainan daripada pemain lain dalam
pasukannya dan pemain pasukan lawan. Pemakaian segala alat yang dianggap berbahaya
kepada pemain-pemain adalah tidak dibenarkan. Setiap pasukan Bola Baling perlu
terdiri daripada 12 orang pemain, iaitu 10 orang pemain gelanggang dan dua
orang penjaga gol. Pemain-pemain dibenarkan memakai jersi bernombor antara 1
orang hingga 20. No 1, 12 dan 16 dikhaskan untuk penjaga gol sahaja manakala
nombor-nombor lain adalah untuk pemain-pemain gelanggang.
KEMAHIRAN
ASAS PERMAINAN BOLA BALING
1. Berlari
2. Melompat
3. Hantaran bola
4. Menyambut bola
5. Mengelecek bola dengan tangan
6. Mengadang
7. Menjaring
8. Menjaga gol
Di dalam blog ini, saya akan menerangkan hanya 3 sahaja kemahiran asas dalam
Bola Baling dan prinsip sains yang berkaitan dengan kemahiran tersebut.
3 kemahiran asas tersebut ialah :
1. Hantaran bola
2. Menangkap bola
3. Menjaring
KEMAHIRAN PERTAMA : HANTARAN BOLA
Dalam permainan Bola Baling terdapat beberapa cara penghantaran bola yang sama
dengan cara-cara yang digunakan dalam permainan bola keranjang dan bola jaring.
Jenis hantaran yang biasa digunakan adalah seperti berikut :
a) Hantaran bahu
b) Hantaran lantun
c) Hantaran aras dada
d) Hantaran lompat
e) Hantaran sisi
HANTARAN BAHU
Cara menghantar bola yang sering digunakan oleh pemain dalam permainan Bola
Baling. Biasanya, cara ini dilakukan semasa membuat hantaran jauh. Kelebihan
cara ini ialah persediaan hantaran ini boleh mengelirukan pihak lawan. Dari
keadaan bersedia, pemain boleh terus mengelecek, menjaring, menukar hala
hantaran atau memusingkan badannya.
HANTARAN LANTUN
Dilakukan apabila membuat hantaran secara mengejut. Kelemahannya adalah bola
itu dapat disekat oleh pihak lawan yang bertindak balas pantas. Hantaran ini
biasanya dilakukan dengan sebelah tangan.
HANTARAN
ARAS DADA
Berasal daripada kemahiran yang sama dalam permainan bola keranjang. Sesuai
untuk hantaran jarak dekat di aras dada. Pergerakan bola itu adalah hasil
tolakan dari jari-jari tangan. Tangan hendaklah ikut lajak di akhir tolakan.
HANTARAN LOMPAT
Ini adalah satu lagi gerak keliru yang berasal dari permainan bola keranjang.
Biasanya apabila seorang penyerang melompat untuk menjaring tidak berpeluang
membuat demikian, ia akan membuat hantaran terus kepada kawannya supaya bola
tidak terlepas kepada pihak lawan.
HANTARAN SISI
Cara hantaran sisi juga digunakan bila membuat hantaran jarak dekat dan pantas.
Pemain tidak perlu memusingkan badannya untuk menghadap ke arah penerima
hantarannya apabila hantaran sisi dilakukan. Hantaran cara ini banyak
melibatkan pergerakan pergelangan tangan dan memang sesuai bagi pemain yang
mempunyai tapak tangan yang besar.
PRINSIP ASAS HANTARAN BOLA
Keberkesanan sesuatu hantaran bola oleh seorang pemain bola dilihat dari sejauh
mana hantaran itu memenuhi prinsip-prinsip asas yang berikut:
a) Suai-masa (timing) – bilakah bola patut dilepaskan?
b) Ketepatan – adakah bola ditujukan kepada sasarannya?
c) Arah – ke manakah bola dihantar supaya permainan menjadi positif?
d) Kekuatan – sekuat manakah boal patut dibaling dalam situasi yang dihadapi
oleh pemain supaya sesuai dengan jarak dan kedudukan pemain yang menerima bola?
PRINSIP SAINS DALAM HANTARAN
Dalam kemahiran hantaran, prinsip sains yang berkaitan ialah sistem tuas. Tuas
ialah suatu struktur yang teguh yang diengselkan pada satu titik dan daya
diaplikasikan kepada kedua-dua titik lain (Hay,1985). Tuas tubuh badan adalah
penting untuk menghasilkan pergerakan yang berkesan terutama ketika membuat
hantaran di dalam permainan Bola Baling. Kemahiran hantaran bola berkait rapat
dengan sistem tuas kelas ketiga. Hal ini disebabkan salah satu fungsi tuas yang
berikut:
a) Ia membolehkan rintangan yang lebih besar dari kuasa yang diaplikasikan
diatasi.
b) Untuk menambahkan kelajuan sesuatu halangan atau rintangan yang bergerak
atau menambahkan jarak pergerakan sesuatu rintangan. Konsep – konsep Penting
dalam Sistem Tuas
1. Daya – usaha di mana otot menghasilkan daya.
2. Beban/rintangan – sebarang objek yang digerakkan atau anggota-anggota badan
itu sendiri.
3. Paksi/fulkrum – sendi
4. Lengan daya dan lengan beban.
a) Lengan daya (LD) yang lebih panjang membolehkan beban yang lebih diangkat.
b) Lengan beban (LB) yang lebih panjang membolehkan kelajuan yang lebih
dihasilkan.
Kesimpulannya, sistem tuas membolehkan pemain membuat hantaran menggunakan daya
yang terdapat di lengannya. Apabila bola berada di tapak tangan pemain, lengan
menjadi daya kepada bola tersebut untuk bergerak manakala siku sebagai fulkrum
atau sendi yang berfungsi untuk menggerakkan bola tersebut. Oleh itu, jika
lengan mengenakan daya yang kuat ke atas bola tersebut maka bola itu akan
bergerak dalam kelajuan yang tinggi dan menyebabkan hantaran bola itu berlaku
dengan cepat.
KEMAHIRAN KEDUA : MENANGKAP BOLA
Prinsip utama dalam menangkap bola ialah mengawal, mematikan kelajuan bola,
memegangnya dengan baik dan terus mengawalnya dengan menggunakan kedua-dua
belah tangan yang berkedudukan relaks. Pelbagai cara tangkapan boleh dilakukan
dengan paling penting ialah setiap tangkapan hendaklah dilakukan dengan tepat
tanpa mengira kelajuan atau jenis hantaran yang dibuat oleh rakan.
Bagaimanapun, tangkapan yang tepat dan betul bermula daripada lontaran atau
hantaran yang tepat atau sempurna.
Untuk menangkap bola dengan tepat dalam apa jua keadaan dan situasi permainan,
seorang pemain mestilah memberikan perhatian pada faktor-faktor berikut:
1. Penglihatan pemain hendaklah fokus pada bola dan penghantarnya.
2. Kedua-dua belah tangan direnggangkan dan dihulurkan ke arah bola.
3. Tangan dan jari hendaklah dalam kedudukan terbuka semasa membuat tangkapan.
Ibu jari berfungsi sebagai penahan bola.
4. Setelah berjaya ditangkap, bola hendaklah dirapatkan ke dada dalam kedudukan
yang selamat.
5. Kedudukan sebelah kaki hendaklah ke depan dan harus berjarak seluas bahu
dengan kaki belakang.
6. Sepanjang pergerakan untuk menangkap bola, pemain hendaklah berada dalam
kedudukan seimbang.
7. Bola yang diterima berada di atas pinggang perlu ditangkap dengan tangan
terbuka dan jari-jari menunjuk ke atas dengan ibu jari membentuk W di belakang
bola. Untuk bola yang berada di bawah pinggang, tangan diterbalikkan dan bola
disentuh hanya pada jari. Untuk menangkap bola terlalu rendah, satu kaki
dikeluarkan ke depan, lalu lutut membengkok dan tangan terbalik. Pemain perlu
berupaya menangkap pelbagai hantaran seperti hantaran tinggi, hantaran rendah
dan hantaran sisi sama ada dalam kedudukan bergerak atau statik.
CARA MENANGKAP BOLA
1. Dengan kedua-dua belah tangan – bola aras muka Apabila hendak menangkap bola
setinggi aras muka, pemain seboleh-bolehnya hendaklah berada di belakang hala
pergerakan bola itu. Kedua-dua belah tangan dihulur secara lurus ke hadapan
untuk menangkap bola. Sebaik sahaja ditangkap bola hendaklah dibawa dekat badan
untuk kawalan yang lebih baik.
2. Dengan kedua-dua belah tangan – bola rendah Untuk menangkap bola rendah
pemain perlu merendahkan badannya dan kedua-dua belah tangan dihulur untuk
menerima bola yang menuju kepadanya. Jari-jari menghala ke bawah semasa
menangkap bola.
3. Menangkap bola dengan sebelah tangan Cara ini hanya dapat dilakukan
dalam situasi apabila penerima bola tidak menghadapi tekanan atau gangguan daripada
pihak lawan semasa hantaran dibuat. Penerima hendaklah memerhatikan bola
sehingga dapat ditangkapnya. Untuk kawalan bola yang kemas, keseluruhan tapak
tangan yang menangkap bola hendaklah berada di belakang bola.
4. Menangkap bola tinggi Jika perlu pemain hendaklah melompat untuk menangkap
bola hantaran tinggi. Faktor yang sangat penting dalam situasi ini adalah
lompatan hendaklah dibuat pada masa yang tepat. Kedua-dua belah tangan dihulur
ke atas untuk menangkap bola. Sebaik sahaja mendarat, bola hendaklah dibawa
rapat ke badan supaya dapat mengawalnya dengan lebih kemas.
KESALAHAN-KESALAHAN MENANGKAP BOLA
1. Memegang bola menggunakan jari dan tidak menggunakan tapak tangan.
2. Tangan yang dihulurkan ke depan berada terlalu rendah dan tidak pula berada
terlalu jauh di belakang.
3. Tidak menggunakan pergelangan tangan.
4. Genggaman yang tidak kemas.
5. Tangkapan yang salah dan tidak mengikut situasi permainan.
MEMEGANG BOLA
Selepas menangkap bola, pemain dibenarkan memegangnya tidak lebih daripada 3 saat
sebelum menghantarnya kepada rakan atau terus membuat jaringan gol. Dalam masa
yang singkat ini, pemain menguasai bola sepenuhnya. Pemain perlu memegang bola
dengan kedua-dua belah tangannya kerana jika sebelah tangan digunakan,
kemungkinan bola terlepas daripada pegangannya. Apabila bola dirapatkan ke
dada, ia dipegang erat oleh jari-jari yang dibuka dan mengarah ke depan.
Pegangan yang kukuh ini adalah penting bagi membolehkan pemain melakukan
gerakan yang seterusnya.
Umumnya, memegang bola hendaklah menggunakan kedua-dua belah tangan dan
berkedudukan pada aras dada. Pegangan ini hendaklah sekejap mungkin agar tidak
mengganggu pergerakan bola serta memberikan masa dan kesempatan kepada pemain
pertahanan pasukan lawan mengatur pertahanannya atau mematah serangan.
SAINS DALAM MENANGKAP BOLA
Dalam kemahiran menangkap bola, prinsip sains yang berkaitan ialah Hukum
pertama Newton iaitu Hukum Inersia. Inersia ialah suatu objek yang tidak
bergerak akan berada di dalam keadaan itu kecuali diganggu oleh daya luar. Jika
bergerak, ia akan bergerak terus dalam arah yang sama dan dalam garisan lurus
melainkan jika diganggu oleh daya luar.
Konsep – konsep Penting dalam Inersia
1. Otot – otot besar menghasilkan daya lebih berbanding dengan otot – otot
kecil.
2. Sedikit daya diperlukan untuk mengekalkan kelajuan dan arah (momentum) objek
yang sedang bergerak. 3. Daya yang lebih perlu untuk menghentikan objek yang
berat dan bergerak cepat (menyerap momentum)
Dalam kemahiran menangkap bola, tangan dihulur keluar ketika menangkap bola dan
tangan ditarik ke dada bagi menyerap inersia yang terdapat pada bola tersebut.
Perkara ini dilakukan supaya tangkapan bola itu menjadi kemas dan bola tidak
mudah terlepas apabila bola berada di tangan pemain. Hal in juga dapat mengelakkan
berlakunya kecederaan terhadap pemain ketika bola ditangkap.
KEMAHIRAN
KETIGA : MENJARING BOLA
Bola baling ialah sukan yang berkisar tentang menjaringkan gol. Sudah tentu
pemain dan penonton akan berasa puas hati dan gembira apabila gol berjaya
dihasilkan, terutamanya jika hasil gol itu dianggap menarik. Dianggarkan purata
jumlah gol yang mampu dijaringkan dalam sesuatu permainan bola baling ialah 40
gol. Maka, bola baling merupakan permainan yang banyak menghasilkan gol.
Walaupun kemahiran menjaringkan gol dijangkakan dapat dilakukan oleh semua
pemain kecuali penjaga gol, namun kelebihan dari segi keupayaan perlu ada pada
pemain barisan belakang yang sememangnya ditugaskan menjaringkan gol. Manakala
pemain-pemain lain lebih bertanggungjawab dalam mengatur dan melaksanakan
taktik dan strategi permainan agar bola dapat disampaikan kepada barisan
belakang yang akan menjaringkan bola.
Kekuatan, kelajuan ketepatan sasaran dan masa adalah antara kualiti utama yang
perlu ada pada pemain bola baling, terutamanya mereka yang ditugaskan
mendapatkan gol. Pemain-pemain juga diharapkan mempunyai ketangkasan pemikiran
dan tindakan, bijak merebut peluang, bijak memintas, tahan lasak dan tidak
mudah berputus asa.
PRINSIP – PRINSIP UTAMA
Umumnya, terdapat beberapa prinsip utama dalam kemahiran menjaringkan gol dalam
permainan bola baling. Antaranya ialah:
1. Pemain mempunyai keyakinan diri pada setiap pemain.
2. Pemain dapat mengawal imbangan dan pergerakan dalam tempoh permainan.
3. Pemain memberikan penumpuan sepenuhnya pada gerakan yang hendak
dilaksanakan.
4. Pemain mengikut lajak.
5. Pemain bijak mengarah dan menepati sasaran tertentu.
6. Pemain cekap menilai ruang kosong dan kedudukan penjaga gol.
JENIS JARINGAN
Jaringan dari Atas Kepala Jaringan dari atas kepala ialah jaringan yang biasa
dan mudah dilakukan, serta mudah pula untuk mendapatkan gol. Jaringan ini juga
paling disukai oleh pemain-pemain baru. Jaringan ini boleh dilakukan oleh
pemain dalam kedudukan statik dan kedudukan bergerak atau berlari.
Teknik melakukan jaringan dari atas kepala ialah:
1. Pemain bergerak satu langkah ke depan.
2. Pemain meletakkan berat badan pada kaki kiri sambil kaki kanan membengkok.
3. Tangan pemain yang memegang bola dibengkokkan sedikit dan dibawa ke belakang
kepala pada aras bahu.
4. Satu lonjakan dilakukan oleh pemain sambil tangan yang memegang bola
diluruskan ke atas kepala dan membalingnya kuat ke arah sasaran.
5. Tangan dan badan pemain hendaklah mengikut lajak selepas membuat hantaran.
Jaringan dari Bawah Lengan
Umumnya, jaringan ini kurang berkesan untuk menghasilkan gol. Namun, ia boleh
dilakukan apabila pemain lawan terdiri daripada pemain yang berbadan tinggi.
Kadang-kadang, pertahanan tinggi kurang memberikan perhatian pada kawalan atau
pertahanan rendah. Bola selalunya diarahkan ke sudut bawah gol pihak lawan.
Teknik melakukan jaringan dari bawah lengan ini adalah seperti berikut:
1. Pemain mengambil satu langkah ke depan dengan kaki kiri. Kaki kanan
dibengkokkan sambil bola dibawa ke belakang bawah aras bahu.
2. Tangan pemain yang memegang bola diluruskan sambil kaki kanannya melangkah
ke depan dan seterusnya bola dilontar dengan kuat ke sasaran.
3. Kaki kiri pemain dilajakkan ke belakang dan tangan kanan dilepaskan.
Jaringan Lompat
Teknik jaringan lompat adalah hampir sama dengan jaringan dari atas kepala,
tetapi perkara yang terpenting ialah dalam jaringan lompat ialah pemain perlu
bergerak tiga langkah ke depan sebelum membuat jaringan. Walaupun ia agak sukar
dilakukan, terutamanya bagi pemain-pemain baru, namun jika sudah mahir, ia
merupakan jaringan yang berbahaya. Hal ini terjadi kerana dalam kebanyakan
perlawanan, banyak gol diperoleh daripada jaringan ini. Jaringan ini sering
dilakukan selepas serangan pantas. Biasanya, jaringan daripada lompatan dibuat
apabila posisi bola berada di puncak lompatan.
Teknik dalam jaringan lompat adalah seperti berikut:
1. Pemain bergerak sebaik-baiknya tiga langkah ke garisan gol. Ketika ini
pemain memegang bola dengan kedua-dua belah tangan.
2. Di luar garisan gol, pemain akan melonjak tinggi ke kawasan gol sambil
membuat jaringan dengan menggunakan sebelah tangan seperti cara jaringan dari
atas kepala. Arah yang dituju ialah satu daripada empat penjuru gol pihak
lawan.
3. Pemain akan mendarat dalam kawasan gol selepas bola dilontarkan.
4. Tangan dan badan pemain hendaklah mengikut lajak.
Kelebihan-kelebihan yang ada pada jaringan lompat adalah seperti berikut:
1. Dari mula bergerak hingga membuat lompatan, penjaring yang membuat lompatan
sendiri boleh mengelirukan penjaga gol.
2. Penjaring atau penyerang gol boleh menukar arah jaringan dengan pantas
secara memusingkan bahu dan lengannya.
3. Pemain boleh melontar bola ke tanah untuk dilantunkan dan bergolek ke dalam
gol di celah-celah kaki penjaga gol.
4. Oleh sebab penjaring terpaksa melompat untuk membuat jaringan gol, maka
mereka sudah tentu mempunyai kelebihan psikologi dan peluang.
Jaringan pada Aras Paha
Jaringan ini agak berkesan dalam menghasilkan gol. Namun, ia memerlukan latihan
yang lama. Pemain yang menerima bola, memegangnya pada kedudukan aras paha, dan
dengan serta-merta terus membuat jaringan. Gerakan dalam jaringan ini amat
pantas. Arah tujuan bola daripada jaringan ini amat sukar ditentukan oleh
penjaga gol atau pemain pertahanan. Cara jaringannya ialah pemain berlari
pantas ke kawasan gold an membengkokkan lututnya sehingga bola berada di bawah
lengan lawan. Dengan pantas, pemain ini membuat jaringan yang ditujukan ke
sebarang bahagian di bawah palang pintu gol pihak lawan.
Jaringan Sisi
Selain daripada membuat jaringan tinggi atau rendah untuk menewaskan pertahanan
lawan, penjaring juga boleh membuat jaringan daripada sisi pemain yang
mengawal. Pemain tangan kanan berpura-pura membuat jaringan pada arah kiri
pemain lawan. Secara tiba-tiba , dia akan mengangkat kaki kanannya,
menggerakkan badannya ke kiri dan berdiri pada kaki kiri. Apabila mendarat di
sisi, pemain berkenaan memusingkan sedikit badan dan bahunya, membawa bola
lebih rendah lalu membuat jaringan di bawah lengan pemain lawan. Jaringan ini
lebih berkesan jika dilakukan secara mengejut.
Jaringan Junam dan Jaringan Jatuh
Walaupun dianggap berbahaya dan sukar dilakukan terutama oleh pemain-pemain
baru, jaringan junam jika dilakukan dengan baik, hasilnya amat menarik, khasnya
pada aksi dan gerakannya. Ia selalunya dilakukan dalam kawasan balingan
percuma. Jaringan dari arah kedua-dua tepi kawasan memerlukan pemain
membengkokkan badan supaya dapat membesarkan lagi sudut jaringan.
Teknik melakukan jaringan junam adalah seperti berikut:
1. Pemain berada di luar garisan kawasan gol.
2. Dengan menggunakan kaki kiri, pemain melonjakkan badannya ke udara menuju ke
kawasan gol.
3. Semasa melonjak, pemain membuat jaringan ke sasaran, iaitu jaringan dibuat
semasa berada di udara sebelum mendarat.
4. Pemain mendarat dengan mempertahankan badan menggunakan tangan atau
menggulingkan tangan.
Jaringan Penalti
Jaringan penalti dibuat dari garisan 7 meter. Jaringan ini terhad mengikut
undang-undang penting, iaitu kaki penjaring tidak boleh terkena atau melepasi
garisan balingan. Jaringan hendaklah dilakukan dalam masa 3 saat selepas
pengadil meniupkan wisel.
Teknik dalam melakukan jaringan penalti adalah seperti berikut:
1. Pemain berada di tempat penalti bersama-sama dengan bola. Pandangan
hendaklah fokus pada penjaga gol untuk memerhatikan kemungkinan pergerakan yang
bakal dilakukan.
2. Pemain melakukan jaringan pada sebarang sudut gol pihak lawan.
3. Jika penjaga gol ke depan, pemain menggunakan teknik membuat jaringan
melambung untuk menjaring.
4. Pemain melakukannya mengikut lajak.
Jaringan Lambung
Jaringan lambung (lob) digunakan untuk menewaskan penjaga gol yang telah
bergerak ke depan golnya. Umumnya, terdapat 3 situasi berlakunya keadaan
begini, iaitu:
1. Apabila penjaga gol berada jauh di depan golnya dengan tujuan mengecilkan
sudut pemain lawan daripada lontaran penalti.
2. Apabila penjaga gol meluru ke depan untuk menandingi pemain lawan yang
memperoleh bola untuk membuat jaringan.
3. Apabila penjaga gol keluar untuk mengecilkan sudut terhadap pemain lawan ketika
terjadi serangan pantas.
Jaringan Voli
Jaringan Voli adalah sama dengan jaringan lompat.
Teknik melakukan jaringan Voli adalah seperti berikut:
1. Jaringan ini dimulakan dengan pemain melompat ke arah bola hantaran.
2. Semasa melompat, pemain menangkap bola dengan kedua-dua belah tangan.
3. Pemain membuat jaringan sebelum mendarat.
PRINSIP SAINS DALAM KEMAHIRAN MENJARING
Dalam kemahiran menjaring Bola Baling, terdapat dua prinsip sains yang
terlibat. Prinsip sains yang pertama ialah sistem tuas manakala prinsip sains
yang kedua ialah daya. Sistem tuas diaplikasikan ketika tangan dihayun ke udara
untuk menjaring manakala daya diaplikasikan ketika kaki membuat lajak dan
melompat ketika hendak membuat jaringan bola. Ketika membuat jaringan, tuas dan
daya memainkan peranan penting kerana salah satu fungsi tuas dan daya adalah
untuk menambah kelajuan sesuatu beban atau halangan atau menambahkan jarak
pergerakan sesuatu rintangan.
Penerangan tentang Prinsip Sains yang terlibat:
1. Ketika membuat jaringan, tangan dihayun tinggi ke udara untuk dilepaskan ke
kawasan gol. Semasa hal ini terjadi, sistem tuas kelas ketiga diaplikasikan di
mana bola sebagai beban, siku sebagai fulkrum dan lengan sebagai daya yang akan
dikenakan ke atas bola. Lengan memberikan daya yang kuat ke atas bola supaya
bola dapat ditujukan tepat ke sasaran.
2. Semasa hendak menjaringkan bola, kaki akan bergerak 3 langkah ke hadapan
untuk memberikan lajak kerana pada ketika ini, daya akan diaplikasikan ke atas
kaki dan memberikan daya yang kuat supaya bola dapat bergerak dengan lebih
cepat ke arah sasaran dengan tepat. Ikut lajak penting dalam kemahiran
menjaring. Ikut lajak merujuk kepada unjuran pergerakan yang telah dimulakan.
Kelajuan terakhir objek berkadar terus kepada jumlah masa daya diaplikasikan.
Ikut lajak memastikan daya menggerakkan tubuh badan digunakan dengan
sepenuhnya. Pendeknya, ikut lajak memastikan pelepasan objek berlaku bersama
dengan pergerakan momentum maksimum tangan. Jika ikut lajak tidak dilakukan,
maka daya yang diberi kepada objek adalah kurang.
LATIHAN ANSUR MAJU
Jaringan Lompat
a) Berlari dan melonjak atas sebelah kaki.
b) Berlari, melonjak dan mengangkat sebelah tangan ke atas (jika kaki kiri
melonjak, angkat tangan kanan) c) Seperti latihan (b) sambil melonjak bahu kiri
menghala ke sasaran (gol). Tangan kanan (bengkok sedikit) dihayun ke hadapan
dari belakang bahu.
d) Ulang latihan (a), (b) dan (c) dengan memegang bola tanpa melemparkannya.
e) Latihan berpasangan – berlari, melonjak dan melempar bola kepada kawan di
hadapan.
f) Latihan dengan tentangan pasif oleh seorang pengawal (latihan ini memerlukan
3 orang).
g) Latihan menjaring dengan tentangan aktif (seorang menjaga gol).
Jaringan – jaringan Lain
a) Latihan membaling pundi kacang, bola sofbol, bola baling antara 2 orang.
b) Latihan membaling bola ke sasaran (tanda di dinding) melalui gelung.
c) Latihan melempar bola ke pintu gol (cara berdiri)
d) Latihan melempar bola ke pintu gol (cara bergerak 3 langkah)
e) Ulang latihan (c) dan (d) dengan tentangan penjaga gol.
10 PERATURAN ASAS PERMAINAN BOLA BALING
1. Satu pasukan mengandungi 12 orang pemain. Semasa permainan 7 orang bermain
dan 5 orang sebagai pemain simpanan. Penggantian pemain boleh dilakukan bila –
bila masa dalam permainan.
2. Permainan diadili oleh 2 pengadil.
3. Permainan dimulakan dengan satu balingan permulaan oleh pasukan yang memilih
untuk membuat permulaan. Balingan dibuat di garisan tengah.
4. Seorang pemain dibenarkan: · Menahan, menangkap, membaling, melontar atau
memukul bola dengan apa cara pun dengan tangan, lengan, kepala, paha atau
lututnya. · Memegang bola untuk selama 3 saat sebelum membuat balingan atau
hantaran. · Melantunkan bola berterusan dari satu tempat ke tempat lain dalam
kawasan permainan yang ditetapkan.
5. Pemain-pemain kecuali penjaga gol, tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan
gol.
6. Apabila penjaga gol keluar kawasan golnya dia akan dianggap sebagai seorang
pemain padang.
7. Jika bola keluar garisan tepi permainandisambung semula dengan satu balingan
ke dalam oleh pasukan yang tidak mengeluarkan bola itu.
8. Semasa balingan percuma, balingan mula atau balingan ke dalam dilakukan,
pihak lawan hendaklah sekurang – kurangnya 3 meter dari pembaling.
9. Satu balingan penalti akan diberi kepada pihak lawan jika seorang pemain itu
menghantar bola kepada penjaga golnya yang berada dalam kawasan gol.
10. Gol boleh dijaringkan dari mana-mana balingan.
REFLEKSI
Bola Baling merupakan salah satu permainan padang yang terdapat di Malaysia
ini. Mengikut sejarahnya, Bola Baling (handball berasal daripada Eropah. Bola
Baling boleh dimainkan sama ada di dalam atau luar dewan. Peralatan yang
diperlukan dalam Bola baling adalah tidak banyak. Peralatan yang diperlukan
ialah padang atau gelanggang (tertutup atau terbuka), sebiji bola baling dan 14
orang pemain (tujuh orang sepasukan). Dua orang pengadil diperlukan untuk
mengawal permainan.
Kemahiran asas yang terdapat dalam Bola Baling ialah berlari, melompat,
hantaran bola, menangkap bola, mengelecek bola dengan tangan, mengadang,
menjaring dan menjaga gol. Setiap kemahiran asas ini mempunyai prinsip sains
yang diaplikasikan ke dalamnya. Sebagai contoh, dalam kemahiran hantaran bola,
prinsip sains yang diaplikasikan ialah sistem tuas di mana bola sebagai beban,
lengan sebagai daya dan siku sebagai fulkrum.
Dalam kemahiran menangkap bola, prinsip sains yang diaplikasikan ialah Hukum
Newton Pertama iaitu Inersia. Cara penangkapan bola mestilah betul untuk
mengurangkan inersia bola bagi mengelakkan kecederaan berlaku. Selain itu,
prinsip sains yang diaplikasikan dalam kemahiran menjaring ialah sistem tuas
dan daya. Sistem tuas diaplikasikan ketika bola dihayunkan oleh tangan manakala
daya diaplikasikan ketika kaki mengikut lajak yang diperlukan untuk memberikan
daya yang kuat. Setiap kemahiran mempunyai prinsip sains yang diaplikasikan
supaya kemahiran tersebut dapat dipertingkatkan lagi dan bagi mengelakkan
kecederaan berlaku kepada pemain.
http://mainbolabaling.blogspot.com/p/blog-page.html
Saturday, July 21, 2018
Subscribe to:
Posts (Atom)