Monday, June 10, 2019

Apa Perbezaan Antara 'Guru' dan 'Cikgu'?

Guru...cikgu. Apa bezanya? Sama saja, kan?
Err..nanti dulu! Kena baca penerangan ini dahulu.
"Cikgu, saya tidak faham dengan soalan ini."
"Guru, saya tidak faham dengan soalan ini."
Ada perbezaan tak?
Menurut satu artikel mengenai perbezaan antara 'guru' dan 'cikgu' yang ditulis oleh Dr Cikgu Muhammad Ariff Ahmad,
Ramai orang berpendapat bahawa 'cikgu' dan 'guru' seerti dan perkataan itu boleh menggantikan satu sama lain. Betul ke?
Ada pula pendapat yang mengatakan bahawa 'cikgu' merupakan panggilan kepada guru, misalnya, panggilan Cikgu Sarimah, Cikgu Aizah, Cikgu Hasnida dan lain-lain.
'Guru' pula maknanya, orang yang mengajar (teacher). 'Guru' juga membawa pengertian umum bagi 'cikgu'.
Misalnya:
Cikgu Aizah mengajar di sekolah menengah.
Anaknya yang sulung menjadi guru.
Perkataan 'cikgu' berasal daripada dua suku kata iaitu 'cik', singkatan daripada perkataan 'encik'. Kata ganti nama 'encik' juga digunakan sebelum nama perempuan yang belum berkahwin atau digunakan
sewaktu bercakap dengan perempuan atau lelaki yang tidak begitu dikenali. Singkatan bagi perkataan ini ialah 'cik'.
Misalnya, Cik Hasyimah, Cik Faizal dan lain-lain.
Kata ganti nama 'cik' yang diikuti perkataan 'gu', membentuk perkataan 'cikgu', yang digunakan sebagai panggilan kepada guru (dalam bahasa Inggeris, teacher).
Perkataan 'guru' pula bererti orang yang mengajar, pendidik, pengajar, pengasuh.
Justeru, pendapat yang mengatakan bahawa perkataan 'cikgu' digunakan bagi nama panggilan, misalnya, Cikgu Kamisah, Cikgu Hasnah, Cikgu Farid dan lain-lain (nama-nama khas) dan perkataan 'guru' pula digunakan dalam bentuk nama am bagi perkataan 'cikgu', memanglah betul.
Orang-orang dahulu mengatakan bahawa terdapat perbezaan makna dan tugas antara 'cikgu' dengan 'guru' sebab suku kata 'gu' dalam bahasa Sanskrit bererti orang yang mengajar, sementara suku kata 'ru' pula bererti 'contoh yang baik'.
Kedua-dua suku kata itu disatukan menjadi perkataan 'guru' yang bererti 'orang yang mengajar dan menunjukkan contoh yang baik'.
'Cikgu' pula bererti orang yang tugasnya hanya mengajar.
Orang yang dipanggil 'guru' lebih berat tugas dan tanggungjawabnya daripada 'cikgu' sebab 'guru' bertugas mengajar dan menunjukkan contoh yang baik dari segi peribadi dan tingkah laku.
Cikgu hanya mengajar atau menyampaikan ilmu dan tugasnya selesai selepas waktu sekolah. Selepas waktu kerja, cikgu dan murid membawa haluan masing-masing.
Berbeza pula dengan 'guru' yang tugasnya mengajar dan menunjukkan contoh yang baik untuk membentuk akhlak dan peribadi anak didiknya.
Pendapat anda pula bagaimana?
Sumber: sketsamasyarakat.blosgpot.my

No comments:

Post a Comment