Sunday, July 5, 2020

Bermula PRASEKOLAH di Sk Semeling 1 Julai 2020/Rabu




IPOH: Kementerian Pendidikan (KPM) tetap akan meneruskan pembukaan prasekolah, Tabika dan Tadika yang dijadualkan bermula 1 Julai ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang menggesa KPM menangguhkan sesi prasekolah berkenaan.
Hang Soon berkata, ia tidak akan ditangguhkan kerana ketika ini sudah ramai ibu bapa yang mula bekerja dan memerlukan anak mereka dihantar ke prasekolah.
"Kita kena tahu bahawa ibu bapa yang bekerja memang memerlukan anaknya dihantar ke prasekolah, jadi (prasekolah) perlu diteruskan.
"Sekiranya terdapat prasekolah yang mempunyai permasalahan, kita akan cuba selesaikannya nanti," katanya kepada pemberita ketika ditemui membuat lawatan kerjan persiapan pembukaan semula sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent di sini, hari ini.
Pada 15 Jun lalu, kerajaan membenarkan prasekolah, Tadika dan Tabika dibuka sepenuhnya bermula 1 Julai ini dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Pembukaan keseluruhan prasekolah dan Tadika itu membabitkan 6,216 prasekolah di bawah kendalian KPM serta 7,887 swasta.
Mengulas lanjut, Hang Soon berkata, ketika ini pihaknya sedang memberi tumpuan kepada kerja-kerja lawatan pembukaan sekolah.
"Persiapan sudah kita buat, kita kena ambil maklum bahawa apabila ada keperluan kita akan tetap teruskan, katanya.
Semalam, Presiden NUTP, Aminuddin Awang dilaporkan berkata pihaknya mengenal pasti banyak masalah akan timbul membabitkan pengurusan dan infrastruktur di prasekolah.
Katanya, selain kawasan pembelajaran yang terhad, keperluan pembantu guru yang tidak mencukupi akan menjejaskan aktiviti pembelajaran dalam kelas.

No comments:

Post a Comment